KONVOKESYEN 2017 KOLEJ UNIVERSITI GEOMATIKA

KONVOKESYEN 2017 KOLEJ UNIVERSITI GEOMATIKA

21 Oct 2017

  

 

Kolej Universiti Geomatika (KUG) meraikan para graduannya dalam Istiadat Konvokesyen ke-
13 yang telah berlangsung pada 21 Oktober 2017 bertempat di Grand Ballroom Hotel Premiera,
Kuala Lumpur. Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani telah hadir ke majlis
konvokesyen tersebut sebagai Tetamu Kehormat dan juga penyampai sijil kepada graduan Ijazah
Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan juga Sijil. Turut hadir adalah Tuan Yang Terutama Tan
Sri Prof Dr Zulhasnan Rafique sebagai Canselor dan Datuk Prof Dr Naim Mohamad sebagai Pro
Canselor KUG.


Sebanyak 1037 ijazah telah dianugerahkan kepada pelajar Sarjana, Sarjana Muda dan juga
pelajar peringkat Sijil yang terdiri daripada pelbagai jurusan seperti Geospatial dan Hartanah, Seni
Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Teknologi Kreatif dan ICT, Bioteknologi dan Sains Gunaan,
Sains Kesihatan Bersekutu, Hospitaliti, Pengurusan Perniagaan dan juga Pembangunan Manusia.
KUG bermula pada tahun 2004 sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang mengkhususkan
kepada bidang Sains Bumi. KUG adalah salah sebuah Kolej Universiti yang diuruskan sepenuhnya
oleh Geomatika Edugroup Sdn Bhd. Kini, Geomatika Edugroup telah berkembang dan mempunyai
sebuah Kolej Universiti di Kota Kinabalu dan beberapa Kolej di Keningau, Kuching dan Tanjung
Malim dengan jumlah hampir 5000 orang pelajar. Setelah mendapat pengiktirafan sebagai kolej
universiti pada awal 2014, KUG telah mensasarkan untuk mendapatkan status universiti penuh
pada tahun 2019.


Semua program di KUG telah diakreditasi oleh MQA dan menerima penarafan 4 bintang dan 5
bintang untuk rating kluster berdasarkan Malaysia Qualifying Education System yang merupakan
penarafan tertinggi dalam sistem tersebut. Penarafan tersebut membantu dan mengukuhkan lagi
pendidikan kepada lebih 2500 orang pelajar tempatan dan antarabangsa yang menyambung
pengajian di KUG dalam pelbagai program dari peringkat sijil sehingga Doktor Falsafah. Terbaru,
KUG telah menawarkan 7 program sijil, 2 program asasi, 27 program diploma, 7 program sarjana
muda, 3 program sarjana dan 1 program PhD. Program-program tersebut terbuka kepada warga
tempatan dan pelajar antarabangsa mengikut tahap dan keperluan seperti yang digariskan oleh
MQA dan Kementerian Pengajian Tinggi.


Bertemakan 'Value Creation: The New Opportunitie', Presiden KUG Prof Sr Dr Mohaizi
Mohamad berkata bahawa, KUG sedang berusaha dengan sepenuh daya untuk membangunkan
pelajar dengan prinsip yang bernilai seperti pembelajaran sepanjang hayat, kecerdasan emosi (EQ)
dan kecerdasan rohani (SQ) serta pemikiran inovatif bukan sahaja untuk menguasai bidang

pekerjaan tetapi juga untuk memberi manfaat kepada masyarakat. KUG secara spesifik,
memfokuskan usaha mencipta nilai dalam konteks membangunkan pelajar yang berdaya saing dan
bernilai tinggi kepada industri dan juga secara umumnya mencipta nilai tersendiri dalam program-
program akademik. Di samping silibus yang sarat dengan faktor teknikal dan hands-on, penekanan
khusus kepada faktor kemanusiaan dan nilai prinsip hidup yang menjurus kepada hayat yang
bermanfaat turut diberi. Graduan KUG bukan sahaja mampu mencari peluang pekerjaan yang baik
apabila memegang erat prinsip 'mencipta nilai' dan 4C (komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan
pemikiran kritikal), tetapi juga mampu membuka peluang baru yang tidak pernah ada sebelum ini
apabila mereka kembali kepada industri dan masyarakat.


Memetik ucapannya semasa majlsi konvokesyen berkenaan kesediaan KUG dalam
mendokong revolusi baru industri 4.0, Dr Mohaizi menjawab bahawa KUG sedia menggalas
tanggungjawab untuk menambahbaik program yang ditawarkan. Pelbagai usaha telah dirancang
untuk memastikan prinsip-prinsip dan elemen Industri 4.0 turut didalami dan difahami oleh setiap
peringkat program, organisasi dan juga pengurusan. KUG akan terus menyediakan bantuan melalui
penciptaan nilai-nilai dan peluang-peluang baru agar pelajar dan graduan KUG turut menjadi
sebahagian daripada revolusi industri 4.0 ini. Beliau turut berkata sebagai institusi yang
memfokuskan teknologi maju, KUG berada dalam landasan yang tepat untuk memenuhi kehendak
industri melalui penghasilan graduan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknikal yang
kukuh dan juga memiliki tabiat dan sikap profesionalisma yang tinggi. Dr Mohaizi optimis dengan
sasaran KUG untuk memiliki status universiti penuh selari dengan wawasan 2020 berdasarkan plan
transformasi yang telah dirancang.


Canselor KUG, Tuan Yang Terutama Tan Sri Prof Dr Zulhasnan Rafique menyatakan rasa
berpuas hati dan minat yang tinggi terhadap perjalanan dan perkembangan Geomatika menuju
status universiti penuh pada 2019. Beliau yang telah memegang kerusi Canselor KUG semenjak
tahun 2014 berkata bahawa jawatan beliau yang terkini iaitu sebagai Duta Malaysia ke USA tidak
menutup minat dan keterujaan beliau terhadap sektor pendidikan tinggi. Beliau yang turut
dikenali memiliki nyalarasa yang membara dalam bidang pendidikan turut melihat perkembangan
KUG dapat memberi kelebihan untuk membantu dan mendokong agenda nasional akan datang
khususnya membawa industri teknologi tempatan ke peringkat global melalui inisiatif industri 4.0
yang dipegang erat oleh KUG.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perancangan KUG
menerapkan prinsip dan nilai industri 4.0 dalam program yang ditawarkan dan juga prinsip
mencipta nilai dan membuka peluang ke dalam diri pelajar adalah langkah yang tepat kerana ia
selari dengan rancangan kerajaan yang turut memfokuskan kepada pembangunan revolusi industri
keempat. "Ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mendokong industri teknologi maju dan
mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh. Sektor yang terlibat termasuklah sektor
automasi, pembangunan robotik, “big data” dan pelbagai lagi yang sedang digembleng oleh
kerajaan".


>> Back to News


Print