fbpx Skip to main content
diploma generalNews

Membaca: Menyuburkan Minda, Menghidupkan Jiwa

Bila kali terakhir kita membaca satu bahan bacaan yang menyuburkan jiwa dan minda kita? Sudah menjadi lumrah, apabila kita sibuk bekerja atau belajar dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, bapa, anak dan sebagainya, kita merasakan yang kita tidak mempunyai masa langsung lapang. Dan oleh kerana kita merasakan bahawa membaca adalah aktiviti masa lapang, kita merasakan yang kita tidak ada keperluan langsung untuk membaca.

Kita tahu bahawa membaca itu banyak manfaatnya. Tetapi, bagaimana membaca boleh menjadi bermanfaat?

  1. Membaca menyihatkan dan menguatkan otak.

Telah banyak kajian mendapati bahawa aktiviti membaca memperkasakan otak. Membaca membuatkan saraf otak hidup dan berinteraksi dengan baik. Kajian juga mendapati bahawa tabiat membaca menghalang daripada kondisi yang dikaitkan dengan usia lanjut seperti Alzheimer dan Dementia. Kerana itulah membaca diibaratkan sebagai vitamin anti-nyanyuk. Allahyarham Professor Ungku Abd Aziz, Tun Mahathir, Bill Gates, Warren Buffet adalah antara tokoh yang mempunyai tabiat membaca. Dan lihatlah bagaimana pemikiran mereka kekal cerdas dan relevan walaupun pada usia yang hampir seabad.

  1. Membaca membantu kepetahan berkomunikasi dan berbahasa.

Membaca memperkayakan perbendaharaan kata, dan membantu kita menuturkan susunan perkataan dengan lebih baik dan bermakna. Tutur kata dan pemilihan perkataan sesorang adalah cerminan kekayaan intelek dan kesihatan mindanya. Kajian mendapati bahawa anak-anak yang dipupuk dengan tabiat membaca bukan sahaja menjadi orang yang dapat mencerna maklumat dengan baik, tetapi juga lebih cemerlang dalam pencapaian akademik dan seterusnya dalam pekerjaan apabila mereka dewasa. Antara susuk yang dikagumi kepetahannya adalah YB Malik Maszlee dan YB Syed Saddiq. Cara mereka mengutarakan pandangan sangat tersusun justeru mudah difahami.

  1. Membaca membina empati.

Sukar bagi kita untuk memahami masalah seseorang melainkan setelah kita mengalaminya. Kerana itu lah, orang yang baca membaca kebiasaannya adalah orang yang besar hatinya dan boleh memahami orang lain dengan mudah. Orang yang membaca diibaratkan seperti orang yang hidup seribu tahun dan telah melalui beribu pengalaman hidup. Semuanya dihayati melalui pembacaan. Sebagaimana George R.R. Martin menyatakan, ‘A reader lives a thousand lives before he dies’.

  1. Membaca mencegah dan mengawal kemurungan dan kebimbangan.

Salah-satu manfaat membaca yang paling besar ialah ia mencegah dan mengawal kemurungan dan kebimbangan. Banyak kajian dan pemerhatian mendapati pesakit yang suka membaca dapat mengawal tahap kebimbangan social (social anxiety) dan mudah sembuh daripada kemurungan (depression). Membaca sedikit sebanyak dapat mengasingkan kita daripada persekitaran yang toksik, dan menenangkan fikiran.

Bagaimana membina tabiat membaca?

  1. Jadikan ia satu sesi ‘me-time’.

Dalam kesibukan urusan harian, kita sering menginginkan waktu untuk bersendirian, yang dikatakan ‘me-time’. Kita mungkin biasa ber’me-time’ dengan secawan kopi, atau menonton filem, atau sekadar menjamu mata di pasaraya. Jadikan membaca sebagai satu sesi ‘me-time’. Pilih satu buku yang kita rasa tertarik untuk baca – walau apa jua tajuknya. Lama kelamaan kita akan dapat pastikan genre apa yang kita suka. Membaca bahan bacaan yang kita suka membuatkan kita rasa terhibur dan terinspirasi.

  1. Niatkan sebagai ibadah.

Banyak agama menitik-beratkan ilmu. Bagi agama Islam, ayat pertama yang diwahyukan adalah ‘Bacalah’. Sekiranya kita rasa sukar untuk mula membaca, pilih satu tajuk yang mana kita rasa sebagai orang yang beragama, kita wajib membacanya bagi menjadikan kita penganut agama yang lebih baik. Contohnya, bagi Muslim, baca lah tentang kisah-kisah Nabi dan Rasul, tentang motivasi, tentang sejarah, tentang masyarakat, dan sebagainya. Walau pun mungkin kita rasa berat, niatkan di dalam hati, bahawa aku membaca kerana ini adalah perintah Tuhanku padaku.

  1. Kongsikan apa yang kita baca dengan orang lain.

Selitkan teladan yang kita pelajari daripada buku yang kita baca dalam perbualan kita. Bukan saja ia menjadi peringatan untuk diri kita sendiri, malah juga dapat dikongsi dengan orang lain. Perbualan pun akan lebih bermakna dan bermanfaat.

Membaca bukan sahaja jambatan ilmu. Ia adalah vitamin bagi keremajaan minda, petua terbaik bagi ketajaman akal, penawar bagi hati yang murung dan teman sepanjang zaman. Orang yang membaca adalah orang yang tidak mudah dijajah, tidak mudah melatah dan tidak akan merasa keseorangan.

Tinta Papan Kekunci,

Dr. Najwa Abd Ghafar