Pada 5 Februari 2020 seramai 6 orang pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) telah menghadiri program aktiviti bersama Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar anjuran Geomatika University College di bawah program ‘Early Entrance Programme’ dipendekkan sebagai EEP. Program bertujuan supaya pelajar lepasan SPM ini mendapat pendedahan awal mengenai fakulti- fakulti yang terdapat di Geomatika Universiti College.
Program EEP bermula pada pukul 10 pagi dimana semua pelajar lepasan SPM berkumpul di studio senibina di Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar. Di sini, pelajar mendapat pendedahan mengenai Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar secara keseluruhan. Pembentangan dilakukan oleh Ar. Malini iaitu salah seorang pensyarah di Fakulti Senibina Dan Rekabentuk Alam Sekitar mengenai program yang terdapat di fakulti ini iaitu Ijazah Senibina, Diploma Senibina, Diploma Rekabentuk Dalaman dan Diploma Landskap. Penjelasan selama 30 minit ini menerangkan sedikit sebanyak informasi mengenai apa yang bakal dipelajari sekiranya pelajar memilih untuk memasuki Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar.
Program diteruskan dengan aktiviti melukis ataupun “sketches”. Pelajar lepasan SPM diiringi oleh pelajar Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar untuk melukis di sekitar Geomatika Universiti College bertemakan alam sekitar ataupun “nature”. Pelajar diberikan masa 1 jam untuk meninjau dan melukis subjek yang dipilih sambil dibantu oleh Pelajar-Pelajar Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar.
Setelah selesai aktiviti sketch, semua pelajar berkumpul semula di studio senibina. Aktiviti diteruskan dengan membuat abstrak model. Pelajar akan menghasilkan satu model secara abstrak hasil interpretasi dari sketch yang telah dilakukan. Untuk tugasan ini, masa selama 3 jam diberikan kepada pelajar untuk memahami dan menyampaikan idea mereka.
Pada jam 3.30 petang, pelajar membentangkan abstrak model masing – masing dan ditonton oleh sebahagian pelajar Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar. Tujuan pembentangan ini adalah supaya pelajar berani menerangkan idea dan hasil kerja yang telah dilakukan. Kumpulan pertama membentangkan abstrak model betemakan daun dan kumpulan kedua pula bertemakan bunga. Model yang dihasilkan amat menarik dan didapati objektif aktiviti dapat disampaikan dengan lancar oleh para pelajar.
Sebagai salah satu fakulti di Geomatika Universiti College, pihak Fakulti Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar amat berbesar hati dapat berkongsi ilmu bersama pelajar lepasan SPM. Pengalaman ini amat berharga di mana pelajar fakulti di Geomatika Universiti College dapat berkenalan dengan pelajar baru dan berkongsi idea sama ada mengenai senibina dan juga pendapat masing – masing.